Suhana Abdullah, 28, dari Kampung Gong Manak, di sini, memerlukan bantuan kewangan bagi menampung keperluan harian keluarga yang hilang punca rezeki selepas suami, Mohd. Zaid Mat Yusof, 32, terjatuh dari tempat tinggi ketika memasang papan tanda di Tumpat.

"Suami saya terjatuh ketika memasang papan tanda menyebabkan berlaku pendarahan dalam kepala. Tengkoraknya kini dibedah dan dia tidak sedarkan diri sejak di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

"Setakat ini hanya tangan kanannya yang boleh bergerak. Dia terlantar di atas katil kerana keadaan yang belum stabil. Dia hanya bergantung kepada susu khas yang disuap menerusi hidung dengan menggunakan tiub yang dibekalkan doktor," katanya ketika ditemui di rumahnya, petang ini.

Keluarga malang itu mendapat perhatian Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor yang meluangkan masa melawat dan menyampaikan barangan keperluan dapur serta sumbangan wang tunai.

Suhana dalam pada itu berkata, dia yang tidak bekerja menghadapi kekangan untuk menyediakan susu berharga RM80 untuk suami dan susu tersebut pula hanya bertahan untuk dua hari sahaja.

Malah katanya, dia juga terpaksa membeli lampin pakai buang suami dan dua anak mereka yang berusia tiga dan dua tahun.

"Risau juga memikirkan keadaan yang bakal berlaku kerana saya dijangka melahirkan anak ketiga pada pertengahan bulan Disember.

"Setakat ini, kami menumpang di rumah me tua kerana dalam keadaan sarat begini sukar bagi saya untuk mengurus sendiri suami yang tidak mampu bergerak," katanya.

Suhana berkata, setakat ini segala perbelanjaan mereka sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada ihsan saudara mara dan jiran terdekat.

Orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan ikhlas boleh menyalurkan bantuan itu menerusi akaun 03103-41-00002961-6 (Bank Simpanan Nasional) atau menghubungi Suhana di talian 01125256478 . - UTUSAN ONLINE