Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan tambahan itu disediakan bagi membolehkan pusat pembedahan katarak berkenaan membeli peralatan canggih untuk meningkatkan lagi perkhidmatannya.

“Untuk menyokong perkhidmatan ini supaya dapat diteruskan dan dilakukan penambahbaikan maka saya akan minta pihak MAIWP menambah sumbangan mereka sebanyak RM3 juta lagi bagi membolehkan pusat pembedahan katarak itu membeli kelengkapan yang lebih canggih.

“Langkah ini sangat penting kerana taraf kesihatan rakyat adalah salah satu keutamaan yang diberikan oleh kerajaan. Dalam soal kesihatan, kita memberi layanan adil dan saksama, walaupun MAIWP memberi sumbangan namun ia tidak terhad kepada orang Islam sahaja malah terbuka kepada semua kaum.

“Ini adalah satu contoh bentuk yang sangat murni dan baik sekali,” katanya menerusi klip video berdurasi 2 minit 42 saat yang dimuat naik di Facebook dan Twitter miliknya, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri meluangkan masa melawat pusat pembedahan itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Jelas Perdana Menteri, beliau begitu kagum dengan perkhid­matan disediakan di Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang yang mana kira-kira 30 pesakit sehari mendapat ra­watan pembedahan katarak yang dilakukan dengan efisien.

“Malah, pembedahan katarak dilakukan dengan kos yang begitu rendah sekali iaitu sebanyak RM103 sahaja berbanding pihak swasta yang mengenakan bayaran antara RM3,000 sehingga RM5,000.

“Bagi mereka yang tidak mampu pula, ada pertimbangan khas, mungkin diberi pengura­ngan atau perkhid­matan secara percuma,” katanya.