ABDUL RAHMAN DAHLAN

Menurutnya, langkah itu bagi menyelesaikan masalah air tanpa hasil (NRW) di daerah ini yang mencapai kadar 85 peratus.

"Kalau kita buat loji air baharu, tapi akhirnya, air itu terbuang begitu sahaja kerana kita tidak dapat hasilnya kembali.

Ini membebankan kerajaan dan membebankan alam sekitar kerana kita semakin kurang sumber air," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Kota Belud di sini hari ini.

Beliau berkata NRW disebabkan oleh paip bocor dan meter air yang rosak.

Mengenai pasir yang menyekat sungai-sungai di daerah ini, Abdul Rahman, yang juga Anggota Parlimen Kota Belud, telah meminta pertimbangan kerajaan Sabah untuk memberi kelulusan sementara kepada syarikat berminat untuk mengambil dan menjual pasir berkenaan.

"Pasir ini datang dari Gunung Kinabalu semasa berlaku gempa bumi pada Jun tahun lepas kerana sungai-sungai Kota Belud berada di kaki gunung.

Kalau kita minta syarikat yang ambil dan jual pasir ini, kita dapat mewujudkan keadaan 'menang-menang' kerana kerajaan tidak perlu mengeluarkan kos untuk membersihkan pasir dari sungai-sungai di sini," katanya.

Pada lawatan kerjanya itu, Abdul Rahman turut melawat Sekolah Kebangsaan Melangkap, sebuah sekolah pedalaman, yang bakal menjadi sekolah perintis menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada murid sekolah itu.

Katanya, sebuah kenderaan akan disediakan oleh EPU khusus untuk menghantar dan mengambil murid sekolah berkenaan yang terpaksa berjalan kaki sehingga 7km ke sekolah.

"Bagi saya dua atau tiga bulan untuk mendapatkan peruntukan untuk membeli kenderaan.

Jika di sekolah ini berjaya, kita akan kembangkan ke kawasan pedalaman lain di Malaysia yang menghadapi masalah serupa," katanya. - BERNAMA