Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembia­yaan itu melibatkan pinjaman I-Sejahtera bagi tujuan ekonomi yang ditingkatkan daripada jumlah RM10,000 (maksimum) pada masa ini kepada RM15,000.

“Selain itu, pinjaman I-Wibawa ditingkatkan daripada RM5,000 (maksimum) kepada RM15,000. Pakej khas ini sempena Ramadan 2018.

“Sehingga Februari lalu, jumlah isi rumah yang menerima pembiayaan AIM adalah seba­nyak 383,659 orang dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM19.4 bilion manakala bayaran balik berapa pada tahap 98.08 peratus,” kata­nya berucap di hadapan lebih 2,500 orang dalam program Himpunan Usahawan AIM Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Dr. Zubir Harun dan Pengerusi Kelab Usahawan Ikhtiar dan Kesukarelawan Pekan, Nor Ashikin Abu Hassan.

Menurut Najib, beliau sentiasa memberi keutamaan kepada AIM dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional kerana mengetahui dua badan itu memainkan peranan penting untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

Kata beliau, bantuan pembiayaan yang disediakan membolehkan golongan sasaran memulakan atau mengembangkan perniagaan bagi mengubah nasib hidup keluarga mereka.

“Pinjaman disediakan ini ibarat seperti bayi yang mula bertatih kemudian berjalan dan berlari. Begitu juga kita ada pinjaman asas seperti disediakan AIM kemudian oleh Maj­lis Amanah Rakyat (Mara), TEKUN dan lain-lain untuk mengembangkan perniagaan,” kata beliau.

Beliau turut memaklumkan bahawa perhatian utama dalam perjuangan kerajaan adalah untuk mengubah dan membantu golongan miskin yang mana kadar kemiskinan mutlak berjaya dikurangkan kepada sifar dan kemiskinan mutlak kepada 0.4 peratus pada 2016 berbanding 3.8 peratus pada 2009.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia diiktiraf sebagai negara paling berjaya di dunia dalam aspek membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah menerusi pelbagai dasar yang dilaksanakan kerajaan.

Kata Najib, dasar itu dilaksanakan secara konsisten sejak zaman kepemimpinan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein iaitu bapa beliau dengan mewujudkan Felda diikuti dengan penubuhan pelbagai agensi lain seperti Felcra, Mara, TEKUN dan AIM.

“Sebagai sebuah kerajaan, saya berpegang kepada prinsip dan falsafah yang merupakan kesinambungan perjuangan ayahanda saya yang menjadi pencetus serta mengilhamkan Dasar Ekonomi Baharu sebagai penggerak utama pembangunan luar bandar.

“Dalam perjuangannya, antara yang menjadi perhatian utama ialah bagaimana hendak mengubah dan menolong orang kampung dan miskin. Hal ini tidak dapat dinafikan apabila kedudukan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar mula berubah bertitik tolak daripada situ,” ujarnya.