Pertunjukan pesawat pe­juang di hadapan kira-kira 5,000 hadirin yang menyaksikan raptai Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya di sini hari ini sekali gus menafikan tohmahan sesetengah pihak bahawa aset pertahanan negara berada di kedudukan terbawah berbanding negara Asia Tenggara lain seperti Viet­nam.

Selain pesawat Sukhoi buatan Rusia, turut mempamerkan aksi adalah lima pesawat Hornet FA-18D dan lima pesawat Hawk 108/208 yang masing-masing dilengkapi teknologi canggih dan kemampuan mempertahankan ruang angkasa negara daripada serangan musuh.

Deruan dan gegaran pesawat itu menarik perhatian penonton yang tidak melepaskan peluang merakam video menggunakan telefon bimbit masing-masing.

Selain itu, 18 pesawat TUDM lain antaranya Pilatus PC-7MK II, CN235 dan C130 juga mempamerkan persembahan di ruang udara Dataran Putrajaya yang dikelilingi Istana Kehakiman, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin serta bangunan beberapa kementerian.

Terdahulu, 103 aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memulakan perbarisan Hari Kebangsaan 2018 yang mewakili segmen pasukan pertahanan negara.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Lipan Bara iaitu kereta perisai bermobiliti tinggi (HMAV) yang mampu mengangkut muatan sehingga dua tan serta memiliki tahap perlindungan dan kekebalan yang menepati piawaian protokol STANAG 4569 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Kenderaan tempur Adnan yang dinamakan bersempena wira negara, Leftenan Adnan turut dipamerkan dalam perbarisan itu.

Perbarisan Hari Kebangsaan 2018 menyaksikan sebanyak 2,050 kontinjen ATM yang mengambil bahagian melibatkan 54 aset udara, 103 kende­raan dan 30 unit berkuda.