Beliau berkata, kementerian komited untuk menyambung dan meningkatkan dasar tersebut bukan sahaja melibatkan program pertukaran belia tetapi juga bidang sukan.

Ke arah itu katanya, Malaysia akan mendapatkan kepakaran Negara Matahari Terbit itu bagi memantapkan pembangunan bola sepak, badminton dan sains sukan.

“Dahulu, Malaysia menghulurkan bantuan dalam pembangunan bola sepak Jepun jadi saya telah bertanya kepada pihak Kedutaan Jepun, sudah tiba masa mereka membalas pertolongan itu semula. Kita lihat di mana kita boleh bekerjasama.

“Ini terutamanya apabila Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung pada 2020, kita berbincang dan bersetuju bahawa jalinan akan dipertingkat terutama mendekati temasya sukan itu, agar kekuatan bersama kita dapat digabungkan untuk bergerak ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Sesi Penyerahan Penajaan serta Pengenalan Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Duta Jepun ke Malaysia Dr. Makio Miyagawa. - UTUSAN ONLINE