Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berharap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak melakukan penganiayaan dan mempertimbangkan nasib lebih 30,000 pegawai agama Islam di negara ini sekiranya mereka kehilangan pekerjaan.

“Merujuk notis penamatan khidmat bertarikh 14 Mei yang berkuat kuasa pada 15 Mei 2018 saya difahamkan perintah yang sama turut melibatkan lebih 30,000 pegawai Islam.

“Esok umat Islam mula berpuasa dan seterusnya menyambut Hari Raya Aidilfitri dan lazimnya di bulan Ramadan kita digalakkan membantu orang yang susah seperti berkongsi zakat serta pelbagai amal kebajikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam tadi.

Jelasnya, Pakatan Harapan memilih untuk melakukan penganiayaan di ambang Ramadan dengan alasan melakukan penyelarasan perkhidmatan awam dan penjimatan kewangan kerajaan.

“Apa juga alasannya, saya dengan ini merayu bagi pihak pegawai agama Islam dan lain-lain yang terlibat supaya penamatan ini dibatalkan.

“Sebagai sebuah negara di mana Islam adalah agama persekutuan dan kedudukan Islam dijamin dalam perlembagaan negara, pemecatan ini termasuk cara dan masanya menghina agama Islam itu sendiri,” tegasnya.

Tambah Annuar, sebagai seorang yang berpengaruh dan berkuasa dalam kerajaan terutama dari segi kewangan, Guan Eng disaran melakukan sesuatu untuk memperbetulkan perkara tersebut. - UTUSAN ONLINE