Pertandingan tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas sama ada individu atau berkumpulan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, pertandingan ini bermula hari ini sehingga 24 Mei depan bersesuaian dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah Persidangan APEC yang akan berlangsung tahun hadapan.

“Pemakaian batik Malaysia akan menjadi kebanggaan seluruh rakyat negara ini.

“Rekaan batik Malaysia yang terpilih akan dijadikan pakaian rasmi bagi ketua-ketua negara, menteri-menteri sektoral, para pegawai kanan dan sekretariat sempena persidangan ini,” katanya.

Mohamaddin berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival Kraf Melaka 2019 di Dataran Menara Taming Sari, Banda Hilir di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Isham Ishak; Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Festival Kraf Melaka 2019 berlangsung mulai hari ini sehingga 31 Mac ini melibatkan penyertaan 63 pengusaha kraf dari seluruh negara merangkumi bidang tekstil, hasil rimba, logam, hasil tanah dan aneka kraf.

Ia merupakan sebahagian daripada sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2019 yang berlangsung di seluruh negara mulai 28 Februari lalu hingga 31 Mac ini.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan mereka batik ini boleh diperolehi daripada urusetia Pertandingan Mereka Batik Malaysia, Seksyen Rekaan, Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Malaysia atau memuat turun borang menerusi laman web www.kraftangan.gov.my. - UTUSAN ONLINE