Dalam satu kenyataan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik menyeru rakyat untuk bersama-sama menyuburkan rasa cinta dan bangga menjadi warganegara Malaysia melalui penulisan dan mengibarkan Jalur Gemilang.

"Luahkan rasa cinta dan terjemahkanlah sikap patriotisme anda. Negara ini negara kita. Tanah tumpah darah dan keringat kita.

"Sejauh mana pun kita mengembara, kita tetap seperti burung gagak pulang ke benua (tak berubah rupa paras asal walau sudah lama merantau). Tidak lain tidak bukan kerana kita orang Malaysia," kata Dr. Maszlee.

Certot yang ditulis perlu bertemakan Sayangi Malaysiaku dan tidak melebihi 200 patah perkataan.

Cerita-cerita kontot tersebut boleh dimuat naik di laman sosial Facebook dan letakkan tanda pagar #SayangiMalaysiaku #Malaysiamembaca dan #CertotSayangiMalaysiaku.

Profil Facebook peserta perlu dipaparkan secara terbuka dan tag @DrMasleeMalik. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 16 September. Pemenang akan diumumkan di akaun media sosial peserta dan Menteri Pendidikan.

"Kibarkanlah Jalur Gemilang. Berceritalah tentang sejarah negara bertuah kita ini. Biar semua orang tahu bahawa negara kita ini negara yang indah, aman, unik dan persona. Dan kita tak pernah menyesal menjadi warganya.

"Selamat menyambut Bulan Kebangsaan buat semua. Selamat berkarya!" kata Dr. Maszlee.-UTUSAN ONLINE