Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, institusi diraja juga tidak boleh dicabar dan disentuh oleh mana-mana pihak seperti mana yang tertera dalam Perkara 181-183 di dalam Perlembagaan tersebut.

Malah katanya yang juga Pe­ngarah Pusat Kajian Institusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), kuasa raja-raja Melayu adalah ter­tinggi dan menyeluruh merangku­mi kuasa eksekutif, legislatif dan ke­hakiman.

“Ramai yang lupa bahawa kua­sa yang membenarkan kewarga­negaraan kepada rakyat bukan Me­layu juga adalah terletak di ta­ngan raja-raja Melayu pada tahun 1951. Setakat ini, banyak fahaman salah dan liberal sehingga ada usaha-usaha untuk mengganggu institusi diraja.

“Kedudukan raja-raja Melayu disanjung tinggi sejak beratus-ratus tahun dahulu. Malah, pe­dagang-pedagang asing yang ber­­labuh di negara ini turut me­mohon menghadap raja-raja Me­layu bagi perkenan. Ini bermaksud raja-raja Melayu itu bukan hanya satu simbol, sebaliknya le­bih kepada pemerintah, manakala kerajaan diperintah untuk men­tadbir,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita dengan tindakan pihak ter­tentu sejak kebelaka­ngan ini yang secara ter­buka menghina dan memperlekeh­kan institusi raja bagi menghasut serta mempengaruhi rak­yat agar membenci raja-raja Melayu.

Lebih mendukacitakan, Sultan Sharafuddin bertitah, hasutan bagi membenci raja-raja Mela­yu itu dilakukan oleh segelintir orang Melayu.

Sementara itu, Felo Utama Ins­titut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berkata, beliau yang juga bukan Melayu turut berasa terkejut ke­rana terdapat segelintir orang Melayu yang cuba mempersoalkan kesesuaian institusi raja-raja Melayu pada waktu ini.

Malah katanya, ramai yang terlupa bahawa raja-raja Melayu adalah ketua di sesebuah negeri, ketua negara, ketua agama dan budaya.

“Raja-raja Melayu itu merupakan lambang jati diri orang Melayu. Institusi raja-raja Melayu per­lu dipertahankan oleh orang Melayu. Selain bahasa dan budaya Melayu, jati diri orang Melayu itu terletak pada institusi raja-raja Melayu.

“Mereka yang tidak senang de­ngan institusi raja-raja Melayu bo­leh dianggap penderhaka,” ujar­nya.

Kok Seong menambah, pera­nan institusi raja-raja Melayu pa­da waktu ini juga telah pun berubah seiring dengan peredaran za­man, namun kedudukannya te­tap sama.

Sebagai contoh jelasnya, titah-titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bijaksana dan ilmiah dalam pelbagai bidang terutamanya ekonomi menjadi cerminan pada keagungan institusi raja-raja Melayu pada waktu ini.