Tengkolok berkenaan pernah dipakai Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah pada istiadat pertabalan Almarhum sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh pada 1979.

Tanjak diraja itu sudah lama dicari Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Seri Paduka menemukannya di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Titah Tunku Azizah Aminah, selama ini Seri Paduka menyimpan muskat yang pernah dipakai oleh Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan ayahanda baginda, Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj

semasa mereka masing-masing ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dan Kelapan.

Titah Raja Permaisuri Agong, muskat itu disimpan untuk dipakai Al-Sultan Abdullah semasa pertabalan Seri Paduka sebagai ketua negara hujung bulan ini namun busana berkenaan tidak muat dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Sepanjang tahun ini saya bertanyakan di mana tanjak ini. Muzium ada menyimpan muskat tetapi tiada yang peduli tentang tanjak. Hari ini saya ke Istana Abu Bakar (Pekan) dan jumpa tanjak yang saya mahu. Di situ juga ada sampin dan bengkung.

“Jadi, saya akan bawa pulang ke Istana Negara. Jika muat, Tuanku pakailah kalau Tuanku sudi pakai. Saya akan minta Tuanku pakai untuk ambil berkat,” titah Seri Paduka semasa berangkat ke Muzium Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Keberangkatan Seri Paduka itu mengejutkan pengamal media yang berada di situ untuk menemubual rakan rapat Raja Permaisuri Agong sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. - UTUSAN ONLINE