Malah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, semangat empat pasukan aerobatik dari China, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Singapura dan Malaysia yang akan melakukan pertunjukan pada pameran berkenaan tidak luntur.

Sebaliknya, kata beliau, kesemua pihak yang terlibat pada pameran udara dan maritim ketiga terbesar di dunia itu kini tidak sabar menanti LIMA 2015.

“Kejadian pesawat terhempas, ini yang pertama kali berlaku pada LIMA. Sebelum ini pernah berlaku juga insiden buruk lain, namun semangat kita tidak pernah luntur. Kita tidak akan benarkan semangat ini terjejas.

“Semangat kalangan juruterbang juga menjadi sangat tinggi pada LIMA kali ini. Sehinggakan sebelum ini, terlalu banyak pasukan aerobatik ingin menyertai LIMA dan kita terpaksa menolak atas sebab-sebab keselamatan,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Minum Petang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di atas KD Jebat hari ini.

Yang turut hadir Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau mengulas insiden melibatkan empat juruterbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) yang cedera apabila pesawat mereka terhempas semalam.

Kejadian kira-kira pada pukul 2 petang itu berlaku apabila dua daripada enam pesawat Jupiter Aerobatic Team bergesel antara satu sama lain ketika melakukan formasi.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengesahkan bahawa Pasukan Jupiter telah menarik diri daripada membuat pertunjukan pada LIMA 2015 berikutan insiden tersebut.

Katanya, beliau menghargai komitmen TNI yang tetap mahu meneruskan penyertaan dalam pameran dwitahunan berkenaan.

“Sementara itu, kepada penduduk kampung yang terjejas akibat pesawat tersebut terhempas di rumah mereka, kita akan melihat bentuk bantuan yang akan kita hulurkan,” katanya.