Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Wan Mohd. Asraf Wan Salleh berkata, baki 20 peratus lagi melibatkan persiapan dari segi pameran daripada 512 syarikat yang mengambil bahagian.

Namun, beliau berkata, perkara itu bukan menjadi halangan dalam memastikan LIMA berjalan dengan lancar pada tahun ini.

“Seperti dapat dilihat pada hari ini, pesawat yang terlibat telah mengadakan latihan bermula dari pukul 8 pagi tadi untuk membiasakan diri dengan hari sebenar nanti.

“Latihan yang dilakukan ini adalah untuk memastikan tiada kesilapan dilakukan dan daripada sini kita perbetulkan sekiranya ada silap,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia dalam sesi raptai pembukaan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini hari ini.

LIMA 15 akan berlangsung di MIEC dari 17 hingga 21 Mac ini. Memasuki edisi penganjuran yang ke-13, pameran dwitahunan yang dianjurkan oleh HW LIMA Exhibitons (HW LIMA) itu diiktiraf sebagai pameran udara terbaik di Asia Pasifik.

Wan Mohd. Asraf berkata, latihan yang dilakukan pada hari ini melibatkan lebih 30 pesawat dari jenis Sukhoi, F/A -18D Hornet, BHE Hawk 108/208 dan Helikopter EC-725 Caracal.

Jelasnya, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 113 pesawat yang akan terlibat dengan penganjuran LIMA pada kali ini.

“Setakat ini, 90 pesawat sudah berada di negara ini dan ada yang ditempatkan di Pulau Pinang dan bukan di Langkawi semata-mata,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, terdapat latihan pesawat secara aerobatik yang diadakan melibatkan pasukan August 1 dari China, Al Fursan (Emiriyah Arab Bersatu), Black Knights (Singapura), Jupiter Aerobatic Team (Indonesia) dan Krisakti (Malaysia).

“Sebanyak 300 hingga 400 kru pelbagai peringkat terlibat dengan raptai persembahan pada hari ini.

“Latihan akan diteruskan pada keesokan hari juga bagi memastikan program ini dapat berjalan dengar lancar dengan kehadiran beberapa pesawat baharu,” katanya.