Sebanyak 2,120 pelajar tingkatan satu, dua dan empat daripada 53 sekolah menengah seluruh Selangor terlibat bagi menjayakan persembahan itu yang dijangka berlangsung lebih empat jam.

Penyelaras persembahan, Siti Dewi Marsitah Ismail berkata, para pelajar berkenaan akan membuat persembahan seawal pada pukul 6.15 pagi sehingga tamatnya sambutan Hari Kebangsaan 2019.

"Namun paling penting adalah persembahan utama dengan mengetengahkan empat segmen iaitu Wawasan 2020, keruntuhan anai-anai atau rasuah, Harimau Asia dan tema Hari Kebangsaan iaitu 'Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih'.

"Persembahan utama ini berlangsung selama 15 minit yang diselangi lagu patriotik, bacaan sajak dan gerakan kain berwarna-warni selaku tarikan penting segmen ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada masa, Siti Dewi merangkap Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor memaklumkan, penglibatan para pelajar berkenaan secara langsung dapat menerapkan budaya patriotik dan kecintaan kepada tanah air.

"Jika sebelum ini, mereka hanya tahu 31 Ogos adalah cuti umum Hari Kebangsaan, tetapi tidak menyedari apakah maksud sebenar hari bermakna ini.

"Malah daripada persembahan ini, kita boleh beritahu mereka betapa susahnya orang dahulu bagi mencapai merdeka daripada penjajah," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih persembahan, Ahmad Hafiz Awaludin memberitahu, semua para pelajar berkenaan telah menjalani latihan sejak tiga minggu lalu.

"Ini pengalaman pertama mereka dan sudah tentunya melihat raut wajah masing-masing teruja untuk melakukan persembahan terbaik sekali demi tontonan jutaan rakyat Malaysia," katanya.-UTUSAN ONLINE