Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, wang yang digunakan untuk memecahkan kelapa boleh disalurkan untuk memenuhi pelbagai keperluan sebahagian daripada komuniti India yang masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Tambah mereka, membelanjakan wang untuk membeli beribu-ribu kelapa bukan tindakan bijak terutama dalam keadaan situasi ekonomi semasa.

“Harga kelapa juga dijangka meningkat ketika perayaan Thaipusam yang mana harga pasaran kelapa ialah RM1.50 sebiji.

“Tetapi ketika Thaipusam, harganya dijangka meningkat daripada RM2.20 kepada RM2.50,” demikian menurut mereka dalam kenyataan bersama itu.

Selain CAP, kenyataan bersama itu turut dibuat Malaysia Hindu Sangam; Malaysia Hindu Dharma Maamandram; Persatuan Hindu Pulau Pinang dan Naam Tamilar Sangam Pulau Pinang.

Menurut mereka, memecah kelapa telah tertanam dalam setiap penganut Hindu perlu dilaksanakan dalam cara yang betul dengan memecah satu kelapa yang perlu dilakukan dengan penuh pengabdian.

Bagaimanapun, kata mereka, memecahkan beribu-ribu biji kelapa setiap tahun akhirnya hanya akan berakhir di pusat pelupusan sampah dan dibakar dan menjadi asap yang mencemarkan alam sekitar.

Sehubungan itu, kata mereka, penganut Hindu perlu memikirkan isu memecahkan kelapa tersebut dan mengikuti amalan agama yang betul supaya dapat menjadi contoh teladan yang baik bagi generasi muda Hindu. - UTUSAN ONLINE