Selesai menyertai karnival jualan anjuran Mood Republik yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hujung minggu lalu, Aeril dikejutkan dengan penemuan benda pelik menyerupai ikatan lidi yang dipercayai angkara pengamal ilmu sihir.

"Terjumpa benda ini dekat gerai masa berniaga malam tadi di PWTC. Apalah niat sebenarnya? Astaghfirullah. Bulan Ramadan pun nak buat macam ni, bukan booth di Kuala Lumpur saja, malah gerai kami di Johor pun sama. Ada staf jumpa benda sama.

"Zaman sekarang pun masih ada lagi yang percaya dengan benda-benda macam ini. Saya dah bawa pergi jumpa pakar dalam bidang ni, ternyata benda ini sihir," kata Aeril memetik kapsyen di laman Instagram miliknya.

Tambah Aeril, cukup-cukuplah dan percaya kepada rezeki masing-masing.

Pihak UTUSAN ONLINE cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada Aeril namun dia memberitahu sedang mengikuti sebuah majlis bersama-sama gurunya.

"Maaf, saya di sebuah majlis dengan guru saya dan tidak berapa sihat," ujarnya. - UTUSAN ONLINE