Memetik laporan Bernama, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, penukaran nama tersebut adalah untuk memberikan satu jenama baharu supaya menjadi lebih berdaya saing dan bersemangat.

“Penukaran nama tersebut diputuskan oleh Kabinet untuk memberikan satu jenama baharu, ‘rebranding’ agar ia lebih berdaya saing, bersemangat, tetapi ada beberapa program di bawah Permata yang diberikan kepada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan ada program disekalikan.

“Terdapat beberapa program akan dipertingkatkan dari segi kualitinya meskipun fungsi dan peranan asalnya masih lagi sama,” katanya selepas Majlis Pelancaran Program Intervensi Murid Sekolah Tahfiz Swasta di Nilai, Negeri Sembilan, hari ini.

Permata merupakan projek perintis yang dicetuskan oleh penggerak utamanya iaitu Rosmah bersama-sama beberapa kumpulan profesional, pendidik, ahli akademik, pakar perubatan, pegawai polis, peguam, pegawai-pegawai kerajaan bagi membincangkan tentang permasalahan remaja kini yang membimbangkan.

Permata mengandungi lima program utama yang terdiri daripada Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan, Perkasa Remaja dan Permata Kurnia.

Ketika ini, terdapat pelajar berumur sembilan tahun yang mengikuti program Permata Negara sedang mengikuti kursus peringkat pra-universiti, di mana pada umur belasan tahun pelajar berkenaan mungkin akan diterima masuk ke sebuah universiti terkemuka di luar negara.

Terdapat juga sekumpulan pelajar tingkatan empat program Permata baru-baru ini menunjukkan kebolehan cukup luar biasa apabila lulus dalam Ujian Kemasukan Seragam (SAT) dengan cemerlang yang membolehkan mereka ditawar memasuki universiti di Amerika Syarikat. - UTUSAN ONLINE