KAMARDIN PIN
KAMARDIN

Dalam masa sama, anak lelaki mereka itu, Mohd. Zali Baharom, 37, yang kini ditahan polis bagi membantu siasatan kes tersebut, turut dikatakan berhutang sebanyak RM10,000 dengan adik iparnya iaitu suami kepada Norzalina, 35.

Norzalina adalah salah seorang daripada tiga mangsa dalam kejadian itu.

Kamardin Pin, 54, yang merupakan adik kepada Norma, 64, iaitu seorang lagi mangsa dalam kejadian itu berkata, dia tidak menolak kemungkinan dua masalah tersebut menyebabkan pasangan itu mengalami tekanan perasaan.

Kamardin berkata, dua bulan lalu, Norma dan suaminya ada datang ke Perlis untuk meminjam wang daripada saudara mara mereka bagi melangsungkan perkahwinan Mohd. Zali.

“Kak Norma pernah bercerita bahawa (Mohd.) Zali memerlukan wang untuk berkahwin dengan seorang wanita dari Johor yang dikenali melalui Facebook. (Mohd.) Zali dikatakan mendesak mak dia (Norma) bagi melangsungkan perkahwinan itu.

“Kak Norma cuba meminjam wang daripada salah seorang saudara mereka tetapi tidak berjaya.

“Pada masa sama, Mohd. Zali sebagaimana yang pernah diceritakan oleh adik iparnya (suami Norzalina) juga pernah menggunakan kad bank lelaki itu yang disimpan Norzalina. Dia kemudian telah mengeluarkan wang sehingga kira-kira RM10,000 secara berperingkat-peringkat," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Disebabkan itu, ujar Kamardin lagi, adik iparnya itu sering mengugut Mohd. Zali bagi mendapatkan semula wang tersebut.

Akhbar hari ini, melaporkan masalah hutang dan kos sara hidup kemungkinan antara punca tiga sekeluarga ditemukan mati lemas di beberapa lokasi berbeza di Sungai Arau, Tambun Tulang dan Simpang Empat dekat sini kelmarin.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mu­shar Mohd., dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kes tersebut termasuk dakwaan mengatakan kesemua mangsa meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan.

Menurut Noor Mushar, berdasarkan rakaman percakapan mangsa keempat berusia 37 tahun yang dijumpai selamat di Sungai Petani, Kedah, mereka melakukan perbuatan itu kerana dipercayai akibat tekanan perasaan berkaitan masalah hutang serta kos sara hidup. - UTUSAN ONLINE