Ini kerana, langkah mengeluarkan mereka daripada senarai hitam Jabatan Imigresen akan memberi kesan terhadap gene­rasi akan datang.

Ketua Penerangan Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Rizan Hassan berkata, keputusan yang diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik itu dilihat bersifat populis yang hanya akan menyebabkan nasib PTPTN bakal menjadi se­perti Perbadanan Tabung Pemba­ngunan Kemahiran (PTPK).

“PTPK di bawah Kementerian Sumber Manusia terpaksa ditangguhkan kepada semua pusat bertauliah swasta kerana dana dalam tabung tersebut tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan pendidikan pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) lain jika begitu keputusan kerajaan maka tidak mustahil PTPTN menerima nasib sama.

“Kalau peminjam PTPTN boleh makan angin ke luar negara walaupun hanya ke Singapura atau Thailand, sudah tentu me­reka mempunyai wang simpanan, jadi kenapa tidak boleh mendahulukan pembayaran hutang daripada bercuti?” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatan­kuasa Biro Tugas-tugas Khas Persatuan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Muhammad Iqbal Ikhwandi Mat Zin berkata, pasti terdapat alasan munasabah kerajaan terdahulu mengenakan tindakan tegas terhadap para peminjam PTPTPN iaitu memastikan segala keutamaan didahulukan berbanding memenuhi kehendak peribadi.

Jelas beliau, secara logiknya segala jenis hutang, sama ada pendidikan, perumahan ma­hu pun melalui individu tertentu perlu dibayar tanpa sebarang alasan.

“Peranan PTPTN ini cukup penting dalam institusi pendidikan negara, jika terlalu banyak alasan dan pembelaan yang tidak wajar terhadap para peminjam, tidak mustahil generasi akan datang tidak lagi dapat menikmati kemudahan ini,” katanya.

Maszlee dalam satu kenyataan hari ini berkata, para peminjam PTPTN tidak wajar dilayan seperti penjenayah atau seperti mereka yang mencuri dana negara.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, Kementerian Pendidikan mengambil inisiatif mengeluarkan 429,945 peminjam daripada senarai hitam Jabatan Imigresen dalam tempoh 30 hari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 8 Jun lalu.