Blogger yang mempunyai Ijazah Sarjana Kesenian dalam bidang pengarahan filem dari Edinburgh College of Art, United Kingdom, Datuk Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, tidak dapat dipastikan adakah hasil analisis pihak Cybersecurity berdasarkan video yang diedar menerusi aplikasi WhatsApp ataupun tidak namun kaedah yang terbaik adalah untuk melakukan analisis terhadap video asal.

"Dalam analisis forensik digital, kaedah terbaik untuk memastikan keputusan yang dibuat adalah memerlukan analisis terhadap video asal, ini kerana ia mempunyai resolusi tinggi.

"Saya tidak pasti sama ada analisis oleh pihak Cybersecurity dibuat berdasarkan video edaran WhatsApp atau video resolusi tinggi. Adalah menjadi tanggungjawab pihak penyiasat untuk mendapatkan video beresolusi tinggi jika mereka benar-benar serius dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador baru-baru ini berkata, proses pengecaman wajah ke atas video intim itu yang dibuat oleh CyberSecurity Malaysia adalah negatif, walaupun kebarangkalian ketulenan video terbabit adalah tinggi.

Ditanya sama ada terdapat teknologi yang boleh membuat pengecaman wajah dan padanan dengan tepat, Syed Azidi yang merupakan pengarah bagi filem Persona Non Grata itu mengakui tidak mempunyai kepakaran namun percaya kewujudan teknologi itu.

"Saya bukan pakar forensik digital tetapi saya tahu kewujudan teknologi untuk pengecaman wajah secara digital. Teknologi ini digunakan oleh beberapa pihak berkuasa di dunia untuk pelbagai tujuan termasuk membanteras keganasan," katanya. - UTUSAN ONLINE