Perdana Menteri menerusi catatan dalam laman blog beliau, chedet.cc turut menjelaskan secara ringkas mengenai pembentukan Perlembagaan tersebut serta kegagalan mematuhinya akan menidakkan kedaulatan undang-undang.

Berikut merupakan terjemahan kenyataan Dr. Mahathir yang dimuat naik dalam bahasa Inggeris:

Ketika Triti (atau perjanjian) MacMichael ditandatangani, negeri-negeri di Malaysia telah menjadi jajahan kepada British. Malayan Union akan diperintah sepenuhnya oleh British. Orang-orang Melayu tidak lagi mempunyai tuntutan terhadap negeri-negerinya. Tiada lagi Tanah Melayu.

Orang Melayu bersatu, bangkit menentang. Perpaduan itu telah menyebabkan pihak British terpaksa memansuhkan semua Triti MacMichael. British bersetuju untuk menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu. Secara rasminya nama yang diterima ialah “Persekutuan Tanah Melayu”. Ia tidak lagi menjadi negeri naungan disebabkan triti tersebut.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi sebagai ketua eksekutif, yang mengetuai Majlis Eksekutif dan Majlis Perundangan. Semua anggotanya dicalonkan oleh Pesuruhjaya Tinggi.

Pada 1955, British memutuskan mengadakan pilihan raya untuk 52 daripada 98 kerusi dalam Majlis Legislatif Persekutuan.

British percaya tiada satu parti akan menang lebih 49 kerusi untuk menuntut hak membentuk kerajaan majoriti.

Tetapi dalam pilihan raya tu Perikatan UMNO, MCA dan MIC telah memenangi 51 daripada 52 kerusi dan berjaya menuntut hak membentuk kerajaan pemerintahan sendiri.

Sejurus selepas itu kedengaran suara-suara dalam kalangan rakyat dan parti dalam kerajaan menuntut untuk kemerdekaan.

Rundingan telah dibuat di London dan akhirnya dipersetujui bahawa Malaya akan merdeka pada 1957.

Sebagai persediaan untuk itu, Suruhanjaya Reid telah ditugaskan merangka Perlembagaan Persekutuan yang merdeka.

Telah dipersetujui Malaya akan menjadi negara demokrasi yang rakyat bebas memilih kerajaan. Raja-raja akan menjadi ketua berperlembagaan tanpa kuasa eksekutif. Kedudukan mereka akan dijamin oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dalam negara.

Parti yang memenangi pilihan raya akan menamakan Perdana Menteri (atau ketua menteri-menteri besar) dan ketua berperlembagaan akan merestuinya.

Jika raja berperlembagaan menolak merestuinya dan mencalonkan serta merestui calon sendiri, parti pemenang boleh menolaknya dalam Dewan, melalui undi tidak percaya.

Perlembagaan Johor dan Terengganu yang diisytiharkan sebelum itu dibatalkan dengan Perlembagaan baharu yang diterima oleh semua negeri dalam Malaysia. Pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah pergi mengundi untuk memilih Kerajaan (Persekutuan) Malaysia dan kerajaan-kerajaan negeri.

Penting untuk semua orang menghormati Perlembagaan dan patuh kepadanya. Gagal untuk berbuat demikian akan menidakkan kedaulatan undang-undang. - UTUSAN ONLINE