Pengarah Perkeso negeri, Zaini Ab. Latif berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 547 pemohon berkelayakan sudah menerima faedah masing-masing melibatkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM328,000.

"Melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) ini, bantuan kewangan segera disampaikan untuk tiga bulan sekiranya dalam tempoh tersebut individu terbabit masih gagal mendapatkan pekerjaan baharu.

"Perkeso memberikan RM600 sebulan selain membantu mereka mendapatkan pekerjaan baharu, memberi kaunseling dan latihan-latihan lain yang berkaitan ," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Wang Pengurusan Jenazah RM2,000 dan Pencen Penakat RM1,000 sebulan kepada balu Wan Mohamad Rusdi Wan Rusli, 28, yang meninggal dunia akibat panahan petir di Shah Alam, Sabtu lalu.

Wang tersebut diterima bapa Wan Mohamad Rusdi iaitu Wan Rusli Wan Ismail, 59, yang mewakili balu Allahyarham, Nor Hamidah Zakaria, 28, di rumahnya di Taman Kobena di sini hari ini.

Zaini dalam pada itu berkata, bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, Perkeso negeri membayar sebanyak RM6.4 juta kepada 2,291 pemohon terdiri daripada pelbagai klasifikasi.

Faedah yang disediakan katanya, termasuklah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani/vokasional, orang tanggungan, pengurusan mayat dan pendidikan.

"Faedah pendidikan merupakan kemudahan dalam bentuk pinjaman yang disediakan kepada anak tanggungan sekiranya orang berinsurans itu meninggal dunia akibat bencana pekerjaan atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal," katanya. - UTUSAN ONLINE