Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berdasarkan perkembangan sektor pendidikan yang dipimpin UMNO sepanjang tempoh 60 tahun memerintah negara ini.

“Saya bahagikan perkara ini kepada dua segmen iaitu 30 tahun pertama dan 30 tahun kedua selepas kemerdekaan manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyasarkan untuk 30 tahun akan datang.

“Dalam segmen pertama, walaupun hanya menggunakan istilah ‘asal ada’ namun kerajaan berjaya mensasarkan penubuhan universiti sehinggakan ramai dalam kalangan orang Melayu yang diangkat sebagai golongan atasan.

“Segmen kedua ini, tuntutan masyarakat telah berlainan kerana generasi yang bersekolah itu telah berpindah dan dasar pendidikan diubah mengikut permintaan masa itu yang lebih mementingkan kualiti,” katanya menerusi sesi pembentangan kluster pendidikan hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, hala tuju pendidikan pada abad 21 ini memfokuskan pemikiran yang berdaya saing menerusi Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Jelas beliau, sistem pendidikan dahulu berasaskan peperiksaan pilihan jawapan manakala zaman ini lebih kepada cara pelajar menjawab dan melontarkan idea selain mewujudkan konsep industri kepada yang kurang berminat dalam pelajaran.

“Bagi konsep industri ini, kita baru mulakannya di Sungai Buloh, Selangor yang mana dua hari sesi belajar dan tiga hari berada di industri manakala pe­periksaan berdasarkan apa yang dilakukan,” katanya.