Yang Dipertuanya, Datuk Nur Jazlan Mohamed (gambar) berkata, persatuan itu memerlukan tenaga kerja dan sukarelawan yang terdiri daripada golong­an muda berikutan kebanyakan penagih dadah dan penagih awal juga terdiri daripada golongan itu.

Selain itu, katanya yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri, usaha memperkasakan Pemadam juga perlu dilakukan di peringkat universiti awam dan sekolah-sekolah.

“Pemadam di universiti awam akan melahirkan aktivis-aktivis baharu yang akan menggantikan tempat kita yang sudah berumur. Kalau kita tidak berubah dan kita tidak nampak kesan, sukarelawan-sukarelawan muda ini boleh turun ke universiti-universiti dan sekolah. Lebih baik mereka sendiri dapat memahamkan rakan-rakan sebaya dan muda mengenai bahaya dadah berbanding yang tua,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam ke-42 di sini hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah Nur Jazlan. Pemadam juga perlu menjadi ‘pagar’ pendidikan dan ‘pagar’ kesedaran bahaya dadah kepada anak-anak muda.

Katanya, ia adalah kerana dadah kini mengalami transformasi iaitu berubah daripada tradisional kepada sintetik.

“Dadah sintetik mudah dibawa ke sana dan sini dan sukar dikesan pihak berkuasa, namun bahan kimia dalam dadah sintetik boleh memberi kesan kepada tubuh badan,” ujarnya.

Mengenai kegagalan membanteras gejala dadah di negara ini, Nur Jazlan memberitahu, ia bukan berpunca daripada kelemahan Pemadam semata-mata sebaliknya meliputi semua pihak.

“Kita semua perlu akui pencapaian kita tidak baik, namun Pemadam mahu menjadi pertubuhan bukan kerajaan yang dihormati masyarakat dan ditakuti pengedar-pengedar dadah pada masa akan datang,” katanya.