Naib Ketua Wira Perkasa, Wan Danial Wan Mohamad berkata, Sarajun Hoda membuat kenya­taan dalam laman Facebook pada Jumaat lalu mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cuba mempolitikkan isu pentauliahan penceramah di negara ini serta cuba mengawal pemikiran dan minda umat Islam melalui khutbah.

“Dia dalam laman Facebook­ menulis ‘sekiranya Allah SWT sendiri atau Nabi Muhammad turun ke bumi untuk berkhutbah, mereka terlebih dahulu perlu memohon tauliah daripada jabatan agama dan sekiranya tidak ada tauliah, mereka juga akan ditahan.

“Kenyataan tersebut disifatkan melampau dan menghina institusi agama Islam, Siapa dia untuk berkata demikian? Sepatutnya seorang Islam tidak akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Wan Danial meminta polis menggunakan aspek perundangan bagi mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Dalam pada itu, Wan Danial berkata, kenyataan tersebut secara jelas menghina Sultan Sela­ngor yang merupakan ketua agama Islam di Selangor.

“Tindakan tegas perlu diambil terhadap Sarajun Hoda yang secara tidak langsung boleh menyesatkan dan menghasut selain me­ng­ganggu gugat keamanan dan keharmonian negara,” ujarnya.