Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, kerajaan juga perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai mekanisme yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 bagi menjaga keamanan terutamanya melibatkan penghinaan terhadap agama Islam, institusi raja-raja Melayu serta hak istimewa orang Melayu sekiranya akta itu dimansuhkan.

“Banyak lagi perkara dalam manifesto Pakatan Harapan yang tidak dilaksanakan, mengapa terburu-buru mahu laksana manifesto untuk mansuhkan akta ini sedangkan rakyat mengundi kerajaan sekarang kerana janji-janji berkenaan kos sara hidup. Pelik mengapa ini jadi agenda utama sekarang.

“Bagi saya ada sesetengah pihak dalam kerajaan sekarang yang mengambil kesempatan untuk melaksanakan agenda sempit mereka.

“Saya harap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tegas mengenai perkara ini dan tidak membenarkan sesiapa mengambil kesempatan kerana saya percaya ketiadaan akta ini akan menjadikan negara kita lebih kucar-kacir,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE