Beliau berkata kakitangan CAP sangat sedih dengan pemergian Mohamed Idris kerana kehilangan seorang pemimpin yang menjadi juara dalam isu pengguna dan alam sekitar.

“Uncle Idris adalah seorang perintis yang telah menciptakan beberapa badan dan organisasi masyarakat sivil yang sangat penting di Malaysia. Seorang yang ada semangat yang sangat kuat untuk berjuang untuk rakyat Malaysia. Walaupun berumur hampir 93 tahun tapi tiap-tiap hari beliau pergi ke pejabat buat kenyataan media, penyelidikan dan sidang media.

“Saya fikir bukan ahli CAP sahaja tetapi semua rakyat Malaysia sangat sedih pada hari ini. Pada hari yang akan datang kami yang masih ada di CAP akan berjuang lagi untuk hak-hak pengguna, melindungi alam sekitar di negara yang tercinta,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Mohamed Idris di kediamannya, malam tadi.

Mohamed Idris, 92, meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC), di sini pada jam 5 petang hari ini kerana sakit tua.

Menceritakan sikap Mohamed Idris sebagai pemimpin, Khor menyifatkan presiden CAP itu sebagai seorang yang tegas, namun mempunyai sifat penyayang yang tinggi.

Beliau berkata selama memimpin CAP sebagai presiden pertama selama 50 tahun, Allahyarham mempunyai semangat yang kuat dan tegas terutama dalam prinsipnya.

“Tapi sebagai kawan dan sahabat dia adalah seorang insan yang lembut dan penyayang kepada keluarganya, kawan-kawan, orang yang datang ke pejabat atau ke rumah beliau...seorang yang amat penyayang,” tambahnya.

Ditanya mengenai pentadbiran CAP, Khor berkata Majlis CAP akan mengadakan mesyuarat dan membuat keputusan berhubung presiden baharu dalam beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, menurutnya buat masa ini CAP akan dipimpin oleh naib presidennya yang juga adik kepada Allahyarham, Mohideen Abdul Kader. - BERNAMA