Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam Sidang Kemuncak ASEAN hari ni, pemimpin negara itu menjawab isu dibangkitkan Malaysia yang meminta agar suatu penyelesaian drastik diambil oleh rantau ini berhubung isu tersebut.

“Kita tidak boleh berdiam diri lagi kerana krisis itu telah memalukan rantau ASEAN dan menjadi isu antarabangsa. Dunia sedang menunggu respons apakah nasib rakyat Rohingya di Rakhine selepas ini?,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan Sidang Kemun­cak Berkaitan, di sini hari ini.

Najib berkata, jaminan Suu Kyi itu merupakan suatu perkembangan yang positif berbanding sebelum ini apabila pemimpin itu tidak langsung menyentuh mengenai Rohingya dalam sidang kemuncak ASEAN yang dihadirinya.

Katanya, pemimpin Myanmar itu juga menyatakan antara langkah yang sedang diambil ialah mengadakan rundingan dengan kerajaan Bangladesh bagi membuat satu memorandum persefahaman (MoU) dalam usaha membawa balik pelarian ke kampung asal mereka.

“Saya tidak menganggap isu itu sudah selesai tetapi telah ada sedikit perubahan atau kemajuan dalam usaha membela nasib Rohingya. Kita juga perlu melihat sendiri apakah kandu­ngan MoU itu yang akan ditandatangani dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Najib berkata, Suu Kyi juga memberi jaminan akan be­kerjasama dengan pihak yang berusaha menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Rohingya terma­suk yang masih tinggal di Rakhine.

Sementara itu, Malaysia juga membawa beberapa isu berkaitan tuntutan bertindih Laut China Selatan yang perlu diselesaikan dengan cara terbaik agar rantau itu menjadi contoh mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran.

Perdana Menteri berkata, sebagai salah satu kuasa besar, China melalui Perdana Menteri­nya, Li Keqiang memberi jaminan negaranya sedia menerima sebarang resolusi dan berkongsi kemakmuran bersama negara-negara ASEAN.

“Beliau yakin yang pertikai­an ini mampu diselesaikan dengan cara terbaik dan sete­rusnya menganggap Laut China Selatan sebagai teras kestabilan rantau ini,” katanya.

Menyentuh mengenai Dia­log ASEAN-Amerika Syarikat yang dihadiri oleh Presiden Donald Trump, Najib berkata, pemimpin AS itu begitu ber­puas hati dengan peranan Malaysia menganjurkan majlis tersebut dan hubungan baik 40 tahun rantau ini dengan negara itu.

“Kerjasama ASEAN-AS telah bermula sejak 1977 dan hubu­ngan itu melonjak dan menjadi bertambah baik apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2015,” katanya. – UTUSAN