Menterinya, Lim Guan Eng berkata, sehubungan itu, mata wang digital dan token digital seperti yang dinyatakan dalam peraturan ini adalah ditetapkan sebagai sekuriti dan akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Katanya, penawaran instrumen-instrumen tersebut berserta aktiviti berkaitan dengannya akan memerlukan kebenaran dari SC dan perlu mematuhi undang-undang sekuriti serta peraturan-peraturan yang berkenaan.

“Kementerian berpandangan bahawa aset digital, berserta teknologi blockchain yang menjadi asas baginya, berpotensi untuk memperkenalkan inovasi di dalam industri lama dan baharu.

“Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi suatu kaedah alternatif untuk mendapatkan dana oleh para usahawan dan perniagaan-perniagaan baharu serta sebagai kelas alternatif untuk para pelabur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Guan Eng, SC akan menetapkan syarat-syarat yang berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (ICO) dan perdagangan aset digital di Malaysia.

Rangka kerja ini dijangka dilancarkan sebelum penghujung suku pertama 2019.

“Mana-mana orang yang menjalani aktiviti ICO atau mengendalikan pasaran aset digital di Malaysia tanpa kelulusan SC boleh dihukum apabila disabit dengan penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM10 juta,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE