Perdana Menteri meluangkan masa selama setengah jam meninjau kelengkapan kapal peronda yang disumbangkan oleh kerajaan Australia itu pada 27 Februari lalu sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua belah negara.

Lawatan beliau diiringi oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim, Datuk Mohd Amdan Kurish dan Pegawai Memerintah KM Perwira, Mohammad Nasir Man.

Kapal yang pernah dimiliki oleh Kastam dan Perlindungan Sempadan Australia (ACBPS) itu akan digunakan oleh Maritim Malaysia untuk mengawal perairan negara.

Pemberian kapal peronda itu secara tidak langsung juga mengukuhkan hubungan dan kerjasama erat yang wujud antara perkhidmatan ACBPS serta APMM.

Sementara itu, Mohammad Nasir berkata, kapal berusia 15 tahun yang mempunyai 12 anak kapal itu akan diletakkan di Lumut, Perak.

Beliau berkata, kapal yang mempunyai kelajuan 25 knot itu akan digunakan untuk membanteras segala kegiatan haram di perairan negara termasuklah kegiatan pemerdagangan manusia.

“Kapal ini sebenarnya telah memulakan operasi pada 9 sehingga 15 Mac lalu,” katanya.