Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kaedah penghasilan dodol perlu diberi nafas baharu menggunakan teknologi mesin dan industri namun pada masa yang sama tidak melupakan kaedah tradisional yang diguna pakai selama ini.

“Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan pengusaha dodol agar berusaha memodenkan industri penghasilan makanan ini termasuk dalam setiap program kacau dodol seperti ini diselitkan dengan pengenalan teknologi terkini.

“Kita berharap pada masa akan datang lebih banyak produk dodol dapat dihasilkan dan lebih ramai mampu menyumbang idea agar industri ini boleh berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kacau Dodol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kampung Merlimau Tengah di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, beliau yakin peranan yang dimainkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan MPKK dalam menganjurkan program kacau dodol seperti ini mampu memberi peluang kepada pengusaha dodol yang terlibat memperbaharui kaedah menghasilkan dodol.

Katanya, selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat, warisan dodol juga dapat diperturunkan kepada generasi muda dan Melaka menjadi salah satu negeri yang berusaha memelihara industri dodol apabila ia menjadi salah satu produk penting khususnya kepada pelancong.

“Kerajaan negeri berharap lebih ramai usahawan tempatan akan terlibat dengan penghasilan dodol sekali gus kualitinya boleh dipertingkatkan. Kita semua tahu penjualan dodol sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan untuk diharap tradisi kacau dodol ini terus kekal dan menjadi acara utama,” katanya. - UTUSAN ONLINE