Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, keyakinan itu adalah berlandaskan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Sebenarnya mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan khususnya dalam Jadual Kesebelas, Seksyen 33C Jadual ke-11 iaitu apa-apa badan atau suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah undang-undang adalah tidak terkesan daripada apa-apa kekosongan yang berlaku.

“Itu peruntukan Perlembagaan, bukan undang-undang biasa. Dan kita mengambil keputusan untuk mengikut Jadual Kesebelas, Perkara 33(C) tersebut,” katanya kepada pembe­rita selepas mesyuarat khas berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, terdapat juga keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memutuskan bahawa SPR secara spesifik tidak terkesan dengan apa-apa kekosongan keahlian.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa terdapat pertikaian tentang kelayakan SPR menentukan tarikh PRK jika suruhanjaya itu hanya diwakili seorang sahaja iaitu pengerusinya.

SPR seharusnya terdiri daripada tujuh ahli iaitu pengerusi, timbalan pengerusi serta lima ahli suruhanjaya dan pelantikan mereka diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Azhar menegaskan, SPR tidak berhasrat untuk meletakkan syarat pemeriksaan kesihatan ke atas calon yang akan bertanding dalam pilihan raya dan cadangan itu juga memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, beliau berpuas hati dengan perjalanan serta pengurusan semua pilihan raya di bawah kendaliannya iaitu PRK di Port Dickson dan Cameron Highlands setakat ini termasuk inisiatif-inisiatif baharu di bawah sekretariat.

Namun begitu, beliau menjelaskan, terdapat beberapa isu di Cameron Highlands iaitu melibatkan gambar tular pemberian wang oleh sesetengah pihak dan telah dilaporkan dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).