Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata, antara langkah yang diusahakan kerajaan termasuk membuka peluang kepada mereka untuk terlibat dalam sistem demokrasi negara di usia lebih muda.

"Ia termasuk melakukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lepas," katanya semasa melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019 Gobind Singh Deo; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, menteri-menteri Kabinet serta barisan exco kerajaan negeri.

Dr Mahathir berkata, pindaan berkenaan yang turut membolehkan pendaftaran pengundi dilakukan secara automatik, juga membuka peluang kepada golongan muda seawal usia 18 tahun untuk menawarkan diri berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Ketika harapan negara sangat besar kepada generasi muda pada masa ini, Dr. Mahathir turut melahirkan kebimbangan terhadap golongan itu yang menurutnya hidup dengan penuh keselesaan sehingga tidak menyedari betapa banyak pengorbanan dilakukan untuk membawa negara ke tahap sekarang.

"Sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan serta perjuangan bangsa. Pada mereka ini, keadaan baik dan selesa dalam negara adalah biasa, dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka," katanya sambil menambah persepsi sedemikian boleh meruntuhkan negara.

Perdana Menteri berkata, semangat patriotisme dan jati diri bangsa yang unggul perlu dipupuk dalam diri generasi muda negara ini sepanjang masa tanpa henti kerana keperibadian mereka akan mencerminkan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang.

"Hal ini dapat melahirkan generasi yang mempunyai semangat nasionalisme tinggi dan secara tidak langsung menjadi individu yang berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya. - BERNAMA