Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara lain, melalui penambaikan itu kadar penalti pelepasan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana juga akan ditingkatkan dan hasilnya akan digunakan untuk membina lebih banyak rumah kos rendah.

Selain itu, katanya, antara masalah utama dihadapi pemaju ialah perlu menunggu kelulusan sehingga dua tahun bagi melepaskan kuota berkenaan, justeru dilihat membebankan mereka untuk menanggung kos kerosakan serta penyelenggaraan rumah yang telah siap.

Beliau berkata, sebelum ini, pemaju juga tidak diwajibkan untuk mendaftar dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian, sebaliknya hanya perlu berbuat demikian setelah hartanah kuota bumiputera tidak dapat dijual dan langkah itu dilihat melambatkan pengurusan jualan hartanah bumiputera. 

"Bagi mengatasi masalah ini, semua pemaju yang telah mendapat permit pengiklanan dan 
pemajuan perumahan (APDL) diwajibkan mendaftar dengan Unit Kuota Hartanah Bumipura untuk diurus jualan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dalam tempoh enam bulan dengan setiap jualan rumah akan dikenakan caj komisen sebanyak dua peratus.

"Pemaju hanya boleh memohon pelepasan kuota hartanah bumiputera setelah enam bulan 
hartanah tersebut tidak dapat dijual oleh LPHP, " katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pelepasan kuota Bumiputera juga telah ditambah baik dengan diwujudkan dua kali proses pelepasan.

Menurut beliau, selepas enam bulan proses jualan oleh LPHP, pemaju boleh memohon pelepasan untuk 50 peratus kuota Bumiputera dengan syarat telah mencapai 30 peratus pembinaan fizikal serta 60 peratus lot bukan bumiputera dijual. 


Tambah beliau, permohonan pelepasan kedua iaitu baki lot bumiputera sebanyak 50 peratus lagi hanya boleh dibuat setelah pembinaan fizikal telah mencapai 80 peratus dan 90 peratus lot bukan bumiputera habis dijual.


"Denda atau levi dua kali ganda berbanding sedia ada dikenakan jika penjualan lot bumiputera dijual terlebih dahulu sebelum kelulusan diberikan oleh pihak pihak berkuasa negeri," katanya.

Tambah beliau, kuota Bumiputera bagi hartanah komersil juga telah diseragamkan kepada 20 peratus sahaja tertakluk kepada komposisi penduduk di sesebuah kawasan.

Selain itu katanya, disebabkan Rumah PerakKu I (kos rendah) dan Rumah PerakKu II (kos 
sederhana) adalah rumah kawalan harga, maka tiada diskaun untuk kuota bumiputera. - UTUSAN ONLINE