Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How berkata, bagaimanapun video yang dihasilkan oleh produser tempatan itu bukan video rasmi Sukma 2018 sebaliknya untuk tujuan ditunjukkan kepada kerajaan negeri.

Menurutnya, terdapat tiga video rasmi Sukma 2018 yang akan siap dalam masa terdekat yang dihasilkan oleh produser sama dan hanya akan ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

“Jika kami menganggapnya sebagai video rasmi, kenapa kami hanya memuat naik dalam sosial media sahaja?

“Video ini dibuat disebabkan kekangan waktu untuk menyediakan video klip rasmi atas sebab proses pembentukan kerajaan negeri Perak yang agak memakan masa baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Howard mengakui telah menghubungi pengarah video ‘Taiwan In Motion 2017’ iaitu Gavin Yin bagi memohon maaf semalam selepas beliau dikatakan turut telah memuat naik status berbaur sindiran di laman sosial Facebook berhubung insiden tersebut.

Howard menegaskan, walaupun kerajaan negeri tidak pernah mengarah mahupun terlibat dalam kegiatan plagiarisme tersebut, pihaknya memohon maaf tidak terhingga atas kesilapan itu.

“Kesilapan ini bagaimanapun tidak seharusnya menidakkan usaha dan penat lelah para atlet, kerajaan negeri serta penganjur dalam memastikan Sukma 2018 berjalan lancar,” katanya. - UTUSAN ONLINE