Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata pihaknya akan membuat pertimbangan sewajarnya selain meletakkan satu tempoh masa bagi membolehkan pihak berkenaan berbuat demikian.

"Jadi, saya setakat ini tidak bercadang untuk mengambil tindakan seperti dilakukan oleh Wilayah Persekutuan tetapi kita akan berikan kelonggaran dan tempoh waktu tertentu untuk membuat pendaftaran.

"Saya akan bincang dengan JAIPk terlebih dahulu untuk kita beri tempoh masa yang munasabah kepada sekolah-sekolah agama yang tidak berdaftar ini untuk mengemukakan permohonan," katanya dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Asmuni berkata jika terdapat pengusaha pusat tahfiz yang masih berdegil pihaknya berkemungkinan akan mengambil tindakan sepertimana dilakukan oleh Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Semalam, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata DBKL akan menutup semua pusat tahfiz yang didapati tidak berdaftar dengan pihak berkuasa serta beroperasi secara haram. - BERNAMA