Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, perancangan pembinaan balai tersebut telah diluluskan oleh kerajaan untuk didirikan di Pantai Pasir Panjang di dalam Mukim Pengkalan Baharu dengan kos bernilai RM10 juta.

"Yang kita ada sekarang di Segari terhad sangat untuk melihat anak bulan.

"Dengan terbinanya balai cerap ini nanti, kursus-kursus atau seminar falak boleh dianjurkan sebagai satu usaha menyebarkan ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Seminar Falak Nusantara 2018 anjuran Jabatan Mufti Perak dan Universiti Malaya di Institut Tanah dan Ukur Negara (Instun), di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Harussani yang mewakili Jabatan Mufti Negeri Perak, turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Instun yang diwakili oleh Pengarahnya, Norehan Omar.

Hadir sama Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Ketika ini, terdapat enam balai cerap di seluruh negara iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Langkawi, Kedah. - UTUSAN ONLINE