ZPP dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, agensi berkenaan dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sedar perkara itu boleh menimbulkan fitnah dan telah mengambil langkah memberi nasihat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan.

“Perkara ini adalah di luar kawalan ZPP dan pihak kami akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa.

“Ketika agihan kit bantuan berkenaan dibuat oleh Pegawai Seranta ADUN kepada penerima bantuan, ADUN berkenaan ingin turut serta dan menyampaikan kit bantuan berkenaan kepada penerima.

“Kami difahamkan tindakan mereka hanya sekadar mengambil gambar penyerahan, mungkin sekadar untuk maklumat pengundi-pengundi kawasan yang diwakili mereka,” demikian menurut kenyataan itu.

Ahad lalu, ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit mengedarkan kit bantuan zakat kepada penduduk Islam yang dikenal pasti layak untuk menerima bantuan zakat.

Chun Kit dalam status dimuat naik di dalam laman Facebook menjelaskan kit bantuan ZPP itu diagihkan kepada penerima di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bangkok Lane dan Kampung Herriot di Pulau Tikus.

Bagaimanapun, tindakannya menyerahkan kit bantuan itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menganggap perbuatan tersebut sebagai mencampuri hal ehwal agama Islam.

Kenyataan ZPP menambah, pihak ZPP menerima permohonan kit bantuan Ramadan daripada pelbagai pihak seperti Pusat Khidmat ADUN; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN); Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen; MPKK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk diagihkan kepada asnaf di kawasan masing-masing.

“Pihak ZPP mensyaratkan setiap permohonan hendaklah disertakan dengan senarai nama lengkap penerima seperti nama, alamat, kad pengenalan, pendapatan dan tanggungan.

“Pihak ZPP akan membuat penilaian dan tapisan senarai nama yang dikemukakan dan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan bantuan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, permohonan daripada Pusat Khidmat ADUN diuruskan oleh pegawai seranta ADUN yang beragama Islam. - UTUSAN ONLINE