Pengarah projek, Prof. Madya Shamsul Bahri Abd. Razak berkata, program bersama komuniti itu bertujuan menjana pendapatan golongan sasar sekali gus meningkatkan taraf hidup diri serta keluarga.

“Untuk fasa pertama ini kita memilih lima asnaf dari Kampung Gemuruh dan mereka akan diberi latihan secara berkala antaranya berkaitan pengurusan kelulut di samping penghasilan produk hiliran seperti barangan kosmetik.

“Ternakan ini mudah kerana ia tidak bersengat dan untuk mendapatkan pulangannya pula tidak mengambil masa yang lama dengan kebiasaannya antara satu atau dua bulan selepas memulakan projek,” katanya selepas program itu Masjid Kampung Gemuruh di sini hari ini.

Kerja-kerja penyelidikan oleh Kumpulan Penyelidik Kelulut UMT seramai 22 orang itu dimulakan sejak 2016.

Sementara itu, Shamsul Bahri yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT berkata, kesemua peserta akan dipantau dalam tempoh dua tahun bagi memastikan projek berjalan lancar dan mencapai objektif.

Katanya, buat masa ini terdapat sebanyak 15 koloni kelulut yang ditempatkan di pekarangan Masjid Kampung Gemuruh sebelum diperluaskan secara berperingkat.

“Apabila peserta sudah mahir menghasilkan produk hiliran, kemudian mereka sendiri yang akan memasarkan termasuk melabel dan menjenamakannya.

“Kita nampak projek ini mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk komersial dan InsyaAllah dalam masa terdekat inisiatif sama akan dikembangkan ke sekolah tahfiz di Batu Enam dekat sini,” katanya.- UTUSAN ONLINE