Beberapa penduduk yang ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini mengakui mereka berdepan cuaca sejuk yang agak berbeza dan tidak pernah berlaku di kawasan itu.

Seorang penduduk, Abdly Zakaria, 25, berkata, suhu pada waktu malam di Kuala Pilah kebiasaannya memang agak dingin tetapi kali ini tahap kesejukan seolah-olah meningkat dua kali ganda.

“Sejak dua tiga hari ini rasa sangat sejuk apabila bangun pagi dan mahu mandi. Air paip sejuk seperti ais. Ia umpama suasana dingin semasa mandi air telaga pada waktu kecil dahulu.

“Selain disebabkan penurunan suhu ketika ini, mungkin cuaca sejuk amat ketara di Kuala Pilah ekoran hujan berpanjangan sejak beberapa hari lalu,” kata­nya ketika ditemui.

Semalam akhbar melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, beberapa kawasan terutama di selatan Semenanjung Malaysia mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah merekodkan suhu paling rendah iaitu 21 darjah Celsius.

Bagaimanapun, suhu pada hari ini direkodkan pada 22 darjah Celsius pada waktu pagi sebelum meningkat 25 Celsius pada petang.

Seorang lagi penduduk, Amran Yahya, 49, berkata, dia menyedari perubahan cuaca di daerah ini sejak beberapa hari lalu, namun menganggapnya sebagai perkara biasa kerana banyak kawasan hutan, selain hujan yang kerap kebelakangan ini.

“Pada awalnya saya anggap cuaca sejuk ini disebabkan hujan dan suasana mendung, tetapi tidak sangka suhu di sini turun selepas perkara itu tular di laman sosial.

“Memang suhu agak sejuk tetapi tidaklah melampau sehingga ada pihak yang mengubah suai gambar seolah-olah salji turun di Kuala Pilah,” ujarnya yang tinggal di Batu Kikir di sini.

Katanya, cuaca sejuk itu menyebabkan beberapa kawasan di sini sentiasa dalam keadaan berkabus dan penduduk mula memakai pakaian tebal bagi mengelak kesejukan atau mengalami selesema.