Sebaliknya, beliau menjelaskan, penurunan itu disebabkan oleh faktor bekalan dalam bentuk harga input yang lebih murah iaitu pengurangan harga minyak petrol dan minyak lain.

“Ini menjadikan penurunan harga dalam bulan Januari 2019 sangat berbeza daripada deflasi harga yang berlaku semasa tahun 2009.

“Semasa Krisis Kewangan Sedunia, Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi di mana keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara merudum 5.8 peratus untuk suku pertama, jatuh 3.7 peratus pada suku kedus dan kemudiannya turun 1.1 peratus pada suku ketiga pada tahun 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

IHP pada Januari 2019 dilaporkan susut 0.7 peratus kepada 120.5 berbanding 121.3 bagi tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu, menurut Guan Eng, deflasi harga dari sudut tahun-ke-tahun hanya berlaku setelah kemelesetan berlangsung.

Tambahan pula, kata beliau, pengeluaran industri merosot dengan mendadak sebelum kemelesetan ekonomi dan deflasi harga bermula.

“Ini bermakna deflasi harga bagi tahun 2009 adalah diakibatkan oleh kemelesetan ekonomi apabila sektor isi rumah dan perniagaan mengurangkan pembelian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, pertumbuhan ekonomi yang sihat dengan KDNK tahun lalu meningkat 4.7 peratus, memadamkan sebarang kebimbangan deflasi ekoran penurunan IHP.

Beliau berkata, penurunan IHP membuktikan bahawa dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengembangkan ekonomi negara untuk manfaat para peniaga dan rakyat.

Dasar-dasar itu kata beliau, termasuk tindakan memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selain menstabilkan harga minyak melalui pengenaan harga siling.

“Penurunan harga ini akan meningkatkan kuasa membeli rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Keadaan inflasi yang rendah telah menggalakkan perbelanjaan swasta tumbuh pesat pada kadar 9.0 peratus dan 8.5 peratus tahun-ke-tahun masing-masing pada suku ketiga dan keempat 2018,” katanya. - UTUSAN ONLINE