Demikian cerita seorang penumpang feri yang dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuah ke Kuala Perlis, dekat sini semasa berdepan detik-detik mencemaskan dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 2.45 petang hari ini.

Noor Fatiha Arshad, 29, yang duduk di bahagian tengah feri berkata, dia juga mula tidak sedap hati sebaik memasuki feri berkenaan kerana turut mendengar bunyi enjin yang kuat dan kasar berbanding menaiki feri sama ke Langkawi, pada Khamis lalu.

Menurut anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim itu lagi, keadaan api yang marak dan asap hitam dari belakang feri mencetuskan suasana kelam-kabut dalam kalangan penumpang yang bergegas menyelamatkan diri ke dek terbuka di bahagian hadapan feri.

"Krew feri mengarahkan kami pergi ke bahagian dek feri dan saya lihat semua penumpang termasuk wanita dan kira-kira 10 kanak-kanak dalam keadaan trauma dan menangis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian tersebut, feri Dragon Star 1 yang membawa 59 penumpang termasuk krew dilaporkan mengalami kebakaran di bahagian belakang yang menempatkan enjin, kira-kira tiga kilometer dari pantai berdekatan sebuah hotel.

Tambah Noor Fatiha, tidak sampai dua minit kemudian, beberapa buah bot datang dan menyelamatkan kesemua penumpang sebelum membawa kembali mereka ke Terminal Feri Kuah.

"Kami bernasib baik kerana lokasi kejadian masih dekat dengan jeti yang mana keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya feri ini terbakar di tengah lautan dan saya juga tak dapat nak bayangkan kalau feri ini padat dengan penumpang dan semua panik untuk menyelamatkan diri memandangkan ruang dek tidak cukup luas," katanya.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Johari Mohd. Lazim berkata, anggota yang tiba di tempat kejadian terus memasuki feri bagi memastikan tiada mangsa yang terperangkap sambil melakukan kerja-kerja pemadaman.

"Kami tiba kira-kira lapan minit selepas mendapat panggilan kecemasan, operasi memadam kebakaran dilakukan dengan tiga aliran pancutan yang menggunakan bantuan pam Godiva.

"Kesemua mangsa yang diselamatkan termasuk dua cedera ringan dibawa kembali ke Terminal Feri Kuah untuk diberikan rawatan dan bantuan, manakala kebakaran dapat dipadamkan tidak berapa lama kemudian" ujarnya. - UTUSAN ONLINE