CIJ Malaysia
 

Pengarah Centre For Independent Journalism (CIJ) Sonia Randhawa berkata, majoriti jawatankuasa itu akan terdiri antaranya daripada wartawan, persatuan wartawan dan ahli akademik.

Beliau berkata jawatankuasa itu berhasrat mengadakan mesyuarat dalam tiga minggu akan datang untuk menghasilkan draf rang undang-undang atau perlembagaan menjelang 30 April 2019.

"(Bagaimanapun) kami juga menyedari bahawa terdapat keperluan segera untuk meminda kerangka kerja perundangan yang mengatur media di Malaysia pada masa ini...dan kerajaan komited untuk memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) tetapi mereka juga mahu melihat kemajuan idea majlis media.

"Memandangkan organisasi media dan wartawan telah membangkitkan mengenai pemansuhan PPPA sejak beberapa dekad, kami ingin melihatnya berlaku secepat mungkin dan itulah sebabnya kami mahu mempercepatkan penubuhan MMM. Kami mahu melihat pemansuhan PPPA berlaku dahulu atau sekurang-kurangnya bersama-sama," katanya dalam sidang akhbar selepas berakhirnya persidangan dua hari itu di sini hari ini.

Persidangan itu dianjurkan bersama oleh CIJ dan Malaysian Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR) dengan sasaran menghimpunkan pemegang taruh bagi melakar pelan hala tuju untuk kawal selia kendiri bagi media Malaysia.

Persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 70 peserta termasuk wartawan, pengarang dan wakil kerajaan.

Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Media dan Komunikasi, Datuk A. Kadir Jasin menyampaikan ucaptama pada hari pertama persidangan.

Menurut dokumen hasil persidangan, antara lain, peserta persidangan itu menegaskan bahawa sebarang langkah untuk menubuhkan majlis media bergantung kepada pemansuhan perundangan menindas yang mengatur media terutamanya PPPA, Akta Hasutan 1972, Seksyen 233 dan 211 Akta Komunikasi dan Multimedia serta semakan Akta Rahsia Rasmi dan pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat.

Menurutnya, media Malaysia memerlukan badan pengawalseliaan sendiri yang bebas untuk mendukung standard kewartawanan, menaikkan tahap profesionalisme, dan menyediakan ruang untuk arbitrasi aduan awam.

Ia berkata majlis media yang terbuka, bertanggungjawab dan telus dapat membantu membina keyakinan terhadap media, menyumbang kepada kredibiliti organisasi media berita. - BERNAMA