Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, sistem baharu itu yang membabitkan murid tahun satu, dua dan tiga turut tertumpu kepada perkembangan murid de­­ngan berorientasikan pembelajaran suasana bilik darjah lebih menyeronokkan.

“Ia merupakan pentaksiran baharu bagi menggantikan sistem peperiksaan dalam mewujudkan budaya pembelajaran le­bih bermakna sekali gus memboleh­kan guru memberikan perhatian kepada pembangunan sahsiah murid seperti nilai kasih sayang dan hormat-menghormati.

“Menerusi kaedah itu, peranan ibu bapa juga amat penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kurang tekanan kepada murid di peringkat awal persekolahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amin menambah, kaedah baharu itu adalah sebahagian daripada proses pembelajaran seiring pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang memfokuskan kepada perkembangan dan kemenjadian murid secara holistik.

Katanya, ini bermakna guru digalakkan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap keupayaan murid sekali gus membantu untuk menilai serta menambahbaik hasil pembelajaran.

“Pentaksiran ini dinilai dari segi penguasaan murid dalam proses pem­belajaran melalui aktiviti perbincangan, persembahan, kerja projek dan aktiviti lain selaras kaedah-kaedah Pembelajaran Abad Ke-21 yang berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi dan pemikiran kritikal serta nilai.

“Menggunakan pepe­riksaan semata-mata sebagai mengukur pencapaian murid tahap satu akan mengakibatkan suasana pembelajaran dalam kelas semakin tidak berfokus kerana ia perlu dilihat daripada perkembangan kemahiran dan pembinaan sahsiah,” kata­nya.

Sehubungan itu, jelas beliau, kementerian memutuskan agar pentaksiran baharu itu sesuai dilaksanakan kepada murid tahap satu sekolah rendah kerana pertumbuhan mereka berlaku dengan pesat dalam tempoh tersebut.