Itu kesimpulan dibuat barisan pensyarah serta warga kerja Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Bengkel Pengurusan Media anjuran anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad iaitu Sibermedia Sdn. Bhd. (Sibermedia) di kampus universiti tersebut, di sini hari ini.

Bengkel selama tiga hari bermula semalam itu melibatkan 30 peserta dan dikendalikan Pengarah Eksekutif Sibermedia, Ainol Amriz Ismail bersama Penolong Pengurus Latihan syarikat, Mohd. Hazli Hassan serta tenaga pengajar foto kreatif, Syefri Moniz Mohd. Nizar.

MOHAMAD NAIM IDRIS
MOHAMAD NAIM IDRIS 

Penyelaras program yang juga Penolong Pendaftar (Pusat Hal Ehwal Korporat) UMK, Mohamad Naim Idris berkata, inisiatif mendedahkan warga kerja universiti tentang dunia media diilhamkan oleh Naib Canselor UMK sendiri iaitu Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail.

“Bagi merealisasikan misi menjadikan UMK sebagai gedung ilmu yang lebih dikenali dan dekat di hati masyarakat, beliau mahu warga UMK turut sama-sama mempromosi universiti ini secara lebih kreatif dan boleh diterima baik masyarakat umum menerusi platform media sosial.

“Dalam masa sama, aspek profesional dan etika tetap dititikberatkan. Oleh sebab itu kita minta Sibermedia menyediakan modul bersesuaian yang merangkumi tatacara berurusan dengan agensi media di samping mengasah kemahiran menulis, mengambil gambar dan video dalam kalangan peserta,” katanya.

PARA pensyarah UMK berusaha menyiapkan tugasan sambil diperhatikan Ainol Amriz Ismail.
PARA pensyarah UMK berusaha menyiapkan tugasan sambil diperhatikan Ainol Amriz Ismail. 
DR. BOON JIA GENG
DR. BOON JIA GENG 

Pensyarah Kanan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi, Dr. Boon Jia Geng pula berkata, bagi mengikuti bengkel tersebut, beliau yang bertugas di Kampus Jeli perlu memandu kira-kira dua jam untuk ke Kampus Bachok selama tiga hari berturut-turut.

“Perjalanan tersebut ternyata berbaloi kerana saya berpeluang mendalami selok-belok dunia media yang selama ini sangat asing bagi ahli akademik berteraskan bidang sains dan teknologi seperti saya.

“Ilmu diperoleh hari ini menjadikan kami sebagai seorang individu yang lebih mahir dalam pelbagai tugasan atau ‘multitasking’,” katanya.

Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Mohd. Hafiz Rosli pula mengakui teruja mengikuti bengkel yang disifatkan amat berguna untuk dimanfaatkan beliau dan rakan-rakan bagi membantu UMK mempromosi produk dan perkhidmatan ditawarkan kepada masyarakat.

MOHD HAFIZ ROSLI
MOHD HAFIZ ROSLI 

“Saya percaya ada bakat-bakat terpendam dalam kalangan warga UMK baik pelajar, pensyarah mahupun kakitangan yang perlu kita ketengahkan untuk sama-sama bekerjasama memajukan universiti dan bengkel ini adalah permulaan kepada usaha itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE