Muhammad Anis Abdul Ghani, 40, berkata, beliau hanya sekadar ingin berkongsi pengalamannya mengajar di USM di sebalik pertikaian mengenai pengenalan tulisan khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu seperti yang diperdebatkan ketika ini.

Menceritakan lebih lanjut, guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Balik Pulau itu berkata, dia mula mengajar seni khat dan kaligrafi Jawi di USM sejak 2012 sehingga kini iaitu subjek pilihan kokurikulum dalam kalangan penuntut USM.

Tambahnya, subjek itu diajar dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis selama tiga jam sepanjang satu semester pengajian atau kira-kira tujuh minggu.

Katanya, pada tahun pertama, lebih 80 penuntut USM mendaftat untuk mengikuti kelasnya namun disebabkan terlalu ramai, USM terpaksa mengehadkan kepada hanya 50 penuntut.

Jelasnya, pada tahun pertama itu juga, beliau menerima seramai lima penuntut dari China yang menunjukkan minat mendalam untuk mempelajari seni khat dan kaligrafi Jawi.

"Saya pada mulanya berasa hairan dan tertanya-tanya sama ada mereka ini tersalah mendaftar kelas, tetapi selepas dimaklumkan mereka mahu belajar dan mendalami seni khat Jawi, saya berasa teruja dengan minat yang ditunjukkan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Muhammad Anis, sejak tahun pertama juga, beliau menerima lebih lima penuntut bukan Islam yang mengikuti kelasnya setiap semester dengan jumlah teramai pada semester awal tahun ini iaitu 10 penuntut bukan Islam termasuk seorang penuntut India.

Tambah beliau, apa yang membuatnya kagum adalah penuntut bukan Islam itu menunjukkan penguasaan dan kemahiran menulis khat Jawi dengan baik meskipun ada daripada mereka langsung tidak pernah didedahkan dengan tulisan Jawi sebelum ini.

"Sesuai dengan subjek seni dan kaligrafi, saya juga banyak menerapkan konsep santai dalam pengajaran dan mungkin itu menyebabkan mereka lebih mudah menerima dan seronok untuk menguasai khat Jawi," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Anis berharap perkongsian menerusi laman Facebooknya tersebut memberi manfaat dan diambil dari sudut positif oleh semua pihak khususnya dalam perdebatan mengenai mata pelajaran khat Jawi ketika ini.

Sehingga kini, perkongsian pengalamannya itu mendapat komen lebih 5,700 pengguna Facebook lain yang rata-rata memuji usahanya tersebut selain dikongsi lebih 11,000 orang. - UTUSAN ONLINE