Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, harga komoditi itu bergantung kepada permintaan daripada pasaran dunia kerana ada sesetengah negara sudah tidak mahu lagi mengimport sawit dari negara ini.

Beliau berkata, pekebun kecil getah dan peneroka kelapa sawit perlu bersedia berdepan dengan masalah pengurangan pendapatan.

“Kemungkinan mereka ber­depan kemiskinan hidup dan perlu ada langkah alternatif mencari sumber lain sebagai tambahan pedapatan,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyuarakan kebimbangannya dengan tekanan hidup bagi kumpulan sasar itu yang bergantung sepenuhnya kepada tanaman komoditi sejak puluhan tahun lalu.

Katanya, kerajaan Malaysia baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil sesuatu langkah yang proaktif bagi menyelamatkan pendapatan mereka.

“Saya juga bercadang berjumpa pemimpin kerajaan baharu itu untuk berbincang masalah yang dihadapi pekebun kecil dan peneroka di seluruh negara.

“Beberapa cadangan juga akan dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan supaya pendapatan kumpulan itu tidak terjejas teruk. Kita juga mengharapkan ada cadangan mereka untuk membantu kumpulan ini, sebab ramai daripada mereka mengharapkan pertolongan daripada kerajaan PH,” katanya.

Tambah Tengku Razaleigh, sektor perladangan sekarang adalah cara lama dan memerlukan cadangan baharu yang lebih menjamin pendapatan peneroka pada masa depan.

“Saya tidak tuduh sesiapalah punca kejatuhan teruk harga komoditi itu dan saya menyifatkan naik turun harganya perkara biasa bergantung kepada pembekal luar,” katanya.