Pengurus dan Pengarang Unit Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, setakat ini, pihak juri telah memilih 20 video pendek terbaik daripada lebih 100 penyertaan dari seluruh negara.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga video pendek akan dinobatkan sebagai pemenang untuk Januari dan senarai pemenang akan diumumkan pada hujung bulan ini.

“Para peserta telah menunjukkan betapa berbakatnya mereka dari segi idea dan teknik yang ditampilkan melalui sebuah video pendek dengan kualiti yang tinggi dan menepati kriteria yang ditetapkan oleh juri.

“Cuma diharapkan bagi bulan-bulan akan datang, para peserta lebih mementingkan elemen ketulenan, elakkan daripada memplagiat karya orang lain dan meneruskan kecemerlangan dalam memaparkan semangat muhibah antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi penjurian bersama-sama juri profesional, Azhari Muhammad Zain; juri jemputan, Mohd. Azemi Mohd.; juri pemerhati Shereen Ong dan enam juri dalaman dari Utusan Malaysia.

Pertandingan yang ditaja oleh syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd. berlangsung selama setahun bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Setiap bulan, peserta yang dipilih sebagai pemenang akan menerima hadiah wang tunai RM1,000.

Penyertaan terbuka kepada pelajar sekolah menengah sahaja dan mereka hanya perlu menghantar video pendek dengan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan dalam bahasa Melayu dengan memuat naik video menerusi alamat pautan www.muhibah.my.- UTUSAN ONLINE