Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, kementeriannya menyasarkan 9,000 penjawat awam akan menerima rumah mampu milik tahun ini.

Justeru katanya, tidak timbul isu kerajaan tidak membina rumah untuk golongan berkenaan.

“Saya sedia mendengar pandangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung isu rumah mampu milik untuk penjawat awam di bawah DRMM Negara.

“Buat masa ini saya belum dihubungi oleh Cuepacs untuk bertemu bagi membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen Dekad Membaca Kebangsaan peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Isnin lalu Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda dilaporkan meminta pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi DRMM Negara dikekalkan.

Zuraida sebelum ini mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara SPK tahun ini bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam komuniti.

Terdahulu dalam majlis berkenaan, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin turut hadir menyampaikan tazkirah Ramadan bersempena program #QuranHour peringkat kementerian.

Zuraida berkata, program kali pertama diadakan itu bertujuan menggalakkan warga kementeriannya membaca al-Quran di bulan Ramadan bersempena pelancaran kempen Dekad Membaca Kebangsaan. - UTUSAN ONLINE