Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, seiring dengan pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), kemungkinan struktur perkhid­matan awam juga berubah sama ada bekerja di rumah atau pejabat.

“Bekerja dari rumah boleh dilaksanakan oleh beberapa sektor pekerjaan dan akan menjadi rea­liti seperti mana yang diminta oleh golongan wanita.

“Saya yakin bila tiba masa­nya bukan sahaja wanita, malah ke­dua-duanya pun boleh (be­kerja dari rumah),” katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Dia­log TN50 Bersama Penjawat Awam di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail yang bertindak sebagai moderator dalam dialog berkenaan.

Seramai 2,500 penjawat awam seluruh negeri ini hadir pada maj­lis tersebut yang pertama kali dianjurkan di Semenanjung.

Sementara itu, beliau memberitahu, aspirasi berbentuk futuristik yang disampaikan oleh penjawat awam muda dilihat membantu menyediakan pelan TN50 yang lebih jitu.

Menurut beliau, futuristik yang dimaksudkan ialah perubahan dalam pelbagai aspek yang mereka ingin lihat serta dinikmati generasi pelapis akan datang.

“Antaranya idea yang tertumpu kepada penambahbaikan pendidikan bermula di peringkat taman asuhan kanak-kanak (taska), sekolah dan universiti, fasiliti perubatan dan kesihatan serta keperluan bekerjasama dalam membantu pelajar daripada keluarga miskin,’’ katanya.

Jelasnya, idea-idea dan saranan sepanjang sesi dialog ini akan diklusterkan untuk mengeluarkan dokumen TN50.

“Kita ingin lihat 1.6 juta penjawat awam di negara ini lebih mantap dari segi sumbangan produktiviti serta terus menjadi tulang belakang kerajaan dalam memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.